Catatan terakhir ini bukanlah bermakna tulisan terakhir aku di blog ini. Cuma, ia sebagai satu intipati dan isi yang ingin serba sedikit aku sampaikan. Jika diimbas kembali, pertama kali aku mula untuk menulis dan memiliki blog ini, ialah pada tahun 2007 yang lalu. Aku merasakan yang aku teringin untuk menulis dan bercerita. Tidak kisahlah apa bentuk jua sekalipun. Asalkan ada keinginan untuk menulis, aku akan memulakan bicara dan post di dalam blog aku. Bagi sesiapa yang sering mengikuti perkembangan blog aku, sedia maklum, blog yang sekarang ini bukanlah yang asal. Kepada pembaca yang tahu, mereka akan tahu bagaimana keadaannya diriku ketika itu. Aku terlalu memendamkan perasaan. Dan kadangkala aku luahkannya pada blog aku. Seringkali ada dikalangan sahabat andai aku, yang bertanyakan tentangnya. Pun begitu, aku sering bermain teka teki, dan mengatakan tidak ada apa-apa.
Kadangkala, aku berasa terkilan. Sedih. Terharu. Aku sering berfikit yang bukan-bukan. Aku jadi serabut. Kadangkala, tidur aku terganggu. Kadangkala aku terfikirkan masa depan aku. Dimanakah aku akan berada 10, 20 atau 30 tahun akan datang. Seringkali aku teringat akan ungkapan ini, ”Kita merancang, Allah merancang, namun, sebaik-baik perangcang adalah Allah”. Sebagai seorang muslim, salah satu dari rukun iman adalah percaya kepada qada’ dan qadar. Percaya bahawa kehidupan seseorang itu telah ditentukan Allah. Boleh jadi satu perangcangan itu dibuat secara teliti dan menyeluruh, pun begitu, jika dikatakan oleh Tuhan yang ianya akan gagal, maka ia akan gagal. Pun begitu, di sini hadir juga konsep ’berusaha, berdoa dan bertawakal’. Jika kita inginkan sesuatu, kita perlu ada usaha kearahnya, dengan cara yang betul. Kemudian, berdoa agar mendapat yang terbaik dan berserah atau bertawakal atas usaha kita itu. Bagi aku, di dalam usia sebegini, barangkali aku perlu berfikiran lebih kritis dan matang. Aku sering berfikiran negatif. Aku perlu positif.
Hidup ini kadangkala tidak mudah yang kita sangkakan. Kadangkala kita merungut, ’kenapa dia boleh dapat A+?”, ’Kalaulah aku boleh score macam dia?’. Tidakkan kita terfikir bahawa Tuhan telah menjadikan kita dengan keunikan tersendiri. Setiap manusia itu telah dicipta dengan adanya kebolehan tertentu yang barangkali tidak ada pada orang lain. Namun, kita boleh belajar. Belajar untuk memajukan diri kita. Belajar untuk mendapat ilmu dan sebagainya. Aku tahu sejauh mana aku boleh pergi. Kadangkala aku terpaksa memaksa diri ini. Setiap kali, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, hati aku berasa bercampur baur. Antara pilu, sedih, terkilan, syukur. Entahla. Melihat rakan-rakan lain yang mendapat keputusan cemerlang, aku tumpang gembira. Mereka mempunyai wawasan, hala tuju, dan target yang ingin dicapai. Tapi aku??
Sewaktu di sekolah, aku bukanlah seorang yang menjadi tumpuan orang. Aku pernah gagal. Aku pernah merasa bagaimana peritnya menjadi seorang failure. Tapi, aku bangkit, aku merasakan bahawa aku perlu lakukan sesuatu untuk mengubah keadaan. Dan, alhamdulillah, aku berjaya. Pun begitu, tatkala aku meniti hari-hari yang mendatang sepanjang aku berada di kehidupan universiti, aku menjadi lemah. Keputusan aku semakin teruk. Tapi, aku merahsiakan pada rakan-rakan aku. Di luar, apabila aku berjumpa dengan mereka, aku riang. Bergurau senda, bergelak ketawa dan bermain bersama. Tapi, dalam hati ini, hanya aku yang tahu.
Kepada pembaca budiman sekalian, apa yang aku ingin sampaikan di dalam ruang kesempatan ini ialah aku bersyukur kerana mendapat kawan seperti anda semua. Serba sedikit anda semua telah membentuk diri aku sebagaimana aku berdiri hari ini. Aku ingin meminta maaf andai sepanjang perkenalan kita aku ada membuat kesalahan, terkasar bahasa atau sebagainya. Dan, aku juga memaafkan anda semua jika ada kesalahan terhadap diri ini. Kita semua tidak lari kesilapan. Baik secara sengaja atau tidak. Ingatlah, kita hidup di dunia yang penuh dugaan dan cabaran. Masa berlalu begitu pantas dan manusia hari ini sibuk mengejar harta sampaikan kita berasa masa itu tidak cukup. Bukan aku ingin menunjuk, tapi sebagai peringatan diri ini dan anda.
Jam di laptop ini tepat menunjukkan pukul 1 pagi. Hari ini sudahpun melangkah ke 31 mei. Esok akan tiba pula bulan jun. Di saat aku menaip catatan ini, aku berada di melaka bersama keluarga aku. Esok aku akan pulang ke ibukota. Apa khabar agaknya dia di sana? Apakah yang sedang dia lakukan pada waktu ini? Harapan aku agar dia dalam keadaan sihat. Aku terpaksa. Aku terpaksa melepaskannya. Biar aku menyesal, jika itu apa yang aku perlu lakukan. Aku terpaksa berkorban. Berkorban demi kebahagiaan orang lain. Keadaan ini terlalu rumit bagi aku. Selama mana dia berada di depan mata aku, aku terpaksa berpura-pura. Aku terpaksa buang perasaan terhadap dia jauh-jauh.
Ya Allah, tunjukilah aku jalan yang kau redhai, jalan yang diberkati. Boleh jadi apa yang aku benci itu, adalah yang baik untuk aku. Pun begitu, boleh jadi juga apa yang aku suka itu, tidak elok untuk aku. Amin.