Ramadhan merupakan antara bulan-bulan di dalam kalendar Islam yang istimewa. Dikatakan bahawa, setiap amalan, yakni tidak kiralah samaada berzikir, berqiamullail, besedekah dan sebagainya, asalkan ia suatu yang baik, dan disertai dengan niat yang ikhlas, insyaAllah, kita akan mendapat pahala yang berlipat ganda. Jika dahulu kita sendiri jarang sekali untuk bangun malam, yakni berqiam, rebutlah peluang ini untuk kita cuba laksanakan. Sekurang-kurangnya, kita berusaha untuk ke arah itu.
Firman Allah:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."
PENGERTIAN PUASA
Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Secara umumnya, kita mengetahui bahawa puasa adalah tidak makan dan minum. Pun begitu, kita juga dituntut untuk tidak melakukan perkara-perkara yang melalaikan atau lagha.SYARAT WAJIB PUASA
BerakalAkhir Baligh (Cukup umur)
Kuat atau mampu mengerjakan puasa
SYARAT SAH PUASA
Islam
Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
Suci daripada haid dan nifas
Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Makan dan minum dengan sengaja
Muntah dengan sengaja
Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan
Keluar darah haid atau nifas
Gila
Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan. Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.
ORANG YANG DIIZINKAN BERBUKA ATAU TIDAK BERPUASA
Orang yang sakit
Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 52 batu atau 80.64 km.
Orang tua yang sudah lemah
Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
Begitulah diantara fadhilat yang dapat kita perolehi sempena bulan yang mulia ini. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita tingkatkan lagi amal ibadah kita, bukan sahaja yang fardu, bahkan yang sunat. InsyaAllah, setiap amalan yang dilakukan itu diterima dan mendapat keberkatan dan rahmat dariNya.
0 comments:
Post a Comment