Pages

    30 December 2008

    Awal Muharram 1430Hijrah

    Hijrah: Persiapan Diri Menuju Alaf Baru

    Awal Muharram sekali lagi menyingkap tirai dan mengimbau perjuangan agung Rasulullah s.a.w. menghadapi kebejatan jahiliah dan kemelut permasalahan yang tidak berkesudahan. Ia sekaligus membuka satu lembaran baru dalam sejarah kemerdekaan sejati bagi umat Islam daripada belenggu jahiliah dalam pelbagai aspek kehidupan.

    Ini juga bermakna bahawa strategi dakwah yang teliti, penuh hikmah dan berhati-hati serta berasaskan perancangan yang rapi yang diterajui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. pada ketika itu, telah berjaya memastikan Islam terus berkembang ke seluruh pelosok dunia sehingga hari Kiamat. Sesungguhnya persiapan rapi yang disempurnakan sebelum melancarkan slogan hijrah agung itu merupakan tindakan perdana yang penuh berwawasan, efisien dan berpandangan jauh.

    Setelah 1420 tahun lamanya peristiwa hijrah hakiki berlalu, kini umat Islam hidup di dalam pelbagai cubaan dan dugaan yang amat mencabar. Lebih-lebih lagi di saat dunia sedang menghadapi ledakan kemajuan yang tidak berhenti-henti. Paling mencabar, dakwah Islamiah hari ini memasuki era siber serta memerlukan kepakaran di dalam bidang sains komputer dan multimedia yang tinggi. Dunia tanpa sempadan, konsep langit terbuka, kerajaan elektronik, perdagangan elektronik, munculnya penyakit-penyakit yang kronik, budaya-budaya Barat yang semakin banyak didedahkan kepada masyarakat dunia, penerokaan pelbagai jenis disiplin ilmu dan sebagainya, merupakan sebahagian daripada cabaran yang mesti disahut oleh umat Islam hari ini.

    Umat Islam yang mengambil sikap tunggu dan lihat akan tertinggal jauh di belakang. Akhirnya mereka akan menjadi pengkagum kehebatan yang dicapai oleh orang lain. Dalam masa yang sama jika umat Islam ingin turut sama mengejar kehebatan tersebut, maka mereka perlulah mempersiapkan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mestilah sanggup mengorbankan masa, tenaga dan belanja yang banyak demi kemajuan hidup mereka sendiri. Namun begitu, persoalannya berapa keratkah di kalangan kita yang sanggup berusaha bermati-matian untuk tujuan tersebut? Sebaliknya masih ramai lagi yang hanya duduk menghabiskan masa tanpa berusaha menuntut ilmu pada tahap yang sewajarnya.

    Jika direnung betapa hebatnya persiapan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. bersedia sebelum menjayakan hijrah dari Mekah ke Madinah suatu masa dahulu, maka sudah tentu kita akan menitiskan air mata mengenangkan hebatnya pengorbanan yang telah dilakukan. Kita bersyukur kerana hasil titik peluh, darah dan air mata merekalah, maka kita berpeluang untuk menikmati nikmat iman dan Islam pada hari ini.

    Barangkali tidak pernah terdetik di lubuk hati para sahabat r.a. ketika itu bahawa seruan dakwah yang mereka usahakan di celah-celah kezaliman kuffar Quraisy di tengah padang pasir dahulu kala, kini menjadi bahan perbincangan hebat antara ulama’ dengan penduduk dunia melalui internet. Bersama kecanggihan ini juga ayat-ayat al-Quran yang mereka hafaz di dalam dada dan menjadi amalan hidup dahulu, kini banyak yang hanya menjadi hiasan di dinding rumah-rumah umat Islam. Masjid yang menjadi tempat penyebaran ilmu dan bersyura dahulu, kini hanya menjadi bahan kebanggaan dan kemegahan binaan dan ukiran indah tetapi sepi daripada jemaah yang keluar masuk untuk beribadat dan beri’tikaf di dalamnya. Kalau dahulu penyebaran dakwah bergelumang dengan cacian kuffar, penindasan, maksiat, berhala dan botol-botol arak di seluruh kota Mekah, tetapi kini dakwah yang berlangsung melalui kaca televisyen, radio dan internet bergelumang pula dengan siaran-siaran hiburan yang melampau dan halaman-halaman web yang tidak senonoh, jahat serta kotor.

    Sesungguhnya persiapan utama yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat r.a. sebelum bermulanya misi hijrah ialah memberi kekuatan rohani dan jasmani. Perkara asas yang ditekankan oleh baginda ialah persoalan akidah. Akidah yang mantap dan keyakinan yang jitu terutama terhadap ganjaran selepas mati menjadi pendorong kuat kepada kejayaan hijrah agung itu. Di samping kekuatan rohani yang utuh maka keteguhan ekonomi, kekuatan ketenteraan, ketinggian disiplin, kesempurnaan fizikal atau jasmani juga amat ditekankan oleh baginda sebelum berhijrah.

    Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. sekali-kali tidak pernah mengabaikan pra syarat utamanya iaitu pegangan akidah, iman dan akhlak yang tinggi pada diri para sahabat r.a. Ini kerana tanpa syarat utama tersebut, maka semua kekuatan lain tidak berguna untuk menghadapi cabaran dan ujian yang amat hebat.

    Lihatlah sendiri betapa kuatnya iman Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang terkenal sebagai seorang hartawan dan dermawan. Begitu juga dengan iman Saidina Umar al-Khattab r.a. yang terkenal dengan keberaniannya menghunus pedang dan mematahkan kelancangan musuh. Demikian juga dengan para sahabat baginda yang lain yang nama-nama mereka disenaraikan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi kumpulan terawal diterima masuk sebagai tetamu syurga.

    Tanpa kekuatan iman nescaya ilmu yang banyak akan membawa seseorang itu menjadi angkuh dan kufur. Begitulah juga orang yang berharta akan menjadi bakhil dan tamak haloba manakala orang yang kuat perkasa pula menuntut upah yang banyak sebelum turun ke medan jihad dan sebagainya. Kelemahan iman juga akan menjerumuskan mereka kepada cintakan dunia, takutkan mati, suka menabur fitnah, berbangga-bangga dan suka mengampu demi mendapat habuan dunia yang fana ini.

    Sesungguhnya peristiwa hijrah yang dicatatkan sebagai proses terpenting dalam pembentukan sesebuah negara Islam pertama di Madinah, tidak dicapai dengan cakap-cakap mulut sahaja. Ia bukan hanya slogan retorik semata-mata. Ia juga bukan hasil daripada pemerasan kuasa ke atas kaum yang lemah, penipuan, taktik kotor, menindas sesuatu kumpulan atau kekerasan yang tidak berhati perut. Malah ia sebenarnya bertitik tolak berkat daripada kesabaran yang tinggi, keikhlasan yang lahir dari hati yang murni dan pengorbanan para pencinta keadilan yang terdiri daripada para sahabat r.a.

    Umat Islam hari ini wajib mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju ke alaf baru. Dunia tidak akan menunggu sesuatu umat untuk sama-sama mencapai kecemerlangan. Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak disuruh duduk menunggu sehingga dijemput kematian lalu kita keluar daripada alam ini tanpa melakukan apa-apa perubahan. Sebaliknya kita disuruh dan diwajibkan berusaha sedaya upaya mencapai kejayaan di dunia sehingga ajal tiba. Cuma satu, kita dilarang daripada mengejar dunia sampai melupakan akhirat.

    Golongan yang mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang di dalam hidupnya. Manakala golongan yang maju sentiasa bersedia berhadapan dan mengatasi hambatan dan halangan-halangan seperti perasaan takut gagal untuk bersaing, sikap suka bertangguh, malas, banyak dalih dan banyak angan-angan. Golongan yang pesimis juga mempunyai banyak prasangka buruk terhadap sesuatu perkara, banyak cakap daripada bertindak, banyak helah dan suka menjadi 'pak turut' kepada orang lain.

    Kebanyakan daripada umat Islam amat suka menumpukan kekurangan yang ada pada diri sehingga segala kekuatan dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah pada setiap diri mereka menjadi terlalu halus dan tidak mampu kelihatan langsung. Akhirnya mereka menyenaraikan satu persatu kelemahan diri dan halangan demi halangan sehingga tidak berdaya melakukan apa-apa anjakan paradigma.

    Di samping itu, manusia seperti ini suka menyalahkan orang lain, masa dan keadaan persekitaran. Golongan ini seterusnya menjadi kelompok yang tidak percaya kepada diri sendiri dan terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka hidup tanpa perlu berusaha lebih daripada biasa. Sikapnya sentiasa berpada dengan apa yang ada dan kerap kali mengharapkan rezeki datang bergolek dengan hanya bertawakal tanpa usaha.

    Sudah sampai masanya umat Islam menghapuskan segala halangan untuk menang di dalam perlumbaan mencapai apa yang diusahakan. Mereka perlu tahu dengan jelas apakah keutamaan yang sebenarnya dan seterusnya bertindak melaksanakan prinsip-prinsip yang menyokong kemenangan dalam semua persaingan.

    Umat Islam kini wajib melakukan persiapan untuk berhijrah. Persiapan pertama adalah memperteguhkan iman menerusi ilmu dan amal soleh. Mempertingkatkan disiplin diri terhadap ketepatan masa, kejelasan matlamat dan segera bertindak adalah juga menjadi prinsip kejayaan yang utama. Dalam masa yang sama, umat Islam mesti bersedia menceburi semua bidang ilmu yang ada dan yang lebih mencabar. Dengan cara ini sahajalah, umat Islam akan mampu menguasai dunia ini tanpa dikongkong oleh orang lain. Jika tidak maka selama itulah umat Islam asyik merungut dan menyalahkan orang lain dan suasana. Sedangkan sebenarnya diri mereka sendirilah yang menyebabkan umat Islam di pandang hina dan diperlekehkan.

    Di dalam al-Quran, Allah Taala berulang kali menegaskan supaya orang yang berakal iaitu 'Ulul Albab' sentiasa peka dan mengambil iktibar daripada umat-umat terdahulu dan peristiwa sirah yang berlaku. Justeru sewajarnyalah kita mempelajari falsafah hijrah dan segala persiapannya sebagai persediaan untuk kita menghijrahkan diri menuju ke alaf baru.

    [http://www.islam.gov.my]

    0 comments:

    Related Posts with Thumbnails