Bukan aku tidak pernah terikir untuk menghentikan semua ini. Aku tahu hubunganku dengan Rin tidak akan kemana, tapi entah mengapa aku sukar melepaskan gadis itu. Bukan aku tidak pernah cuba menerima Hana sebagai isteriku dan menghargai permata di depan mataku, tetapi tiada cinta untuknya di dalam hatiku.
Kadangkala aku terfikir, benarkah tiada cinta untuk Hana, atau akukah yang sengaja menafikan kewujudan cinta itu?..
Lima bulan berlalu, ibu di kampung mula bertanyakan tentang cucunya. Masalah lagi. Ibu mahukan cucu dari rahim Hana. Aduh, semakin pening aku.
'Mana mungkin lahir umat dari rahim itu ibu, sedangkan dia masih suci, masih belum terusik, masih sama seperti hari lafaz di akad...'
Hana hanya tersenyum memandangku sambil memujuk ibu. Hana pandai menjaga maruahku dan rahsia rumah tangga kami. Dia benar-benar isteri yang baik.
Malam itu, selepas solat isyak, aku terus tertidur. Penat sungguh ku rasa setelah pulang dari rumah ibu. Dalam tidur itu, aku bermimpi Hana meminta aku melepaskannya. Kata-katanya mendayukan. Esak tangisnya membuatkan aku hiba. Dia minta dilepaskan daripada aku terus menyeksanya begini. Dia ingin keluar dari segala kepalsuan yang kuciptakan. Rumah ini bukan syurga untuknya. Dia terasa bagaikan hamba..
Aku terjaga.. Berpeluh badanku. Syukurlah bukan realiti. Saat itu aku sedar aku tak sanggup kehilangan Hana. Aku tak dapat menafikan lagi bahawa aku memerlukannya. Aku bergegas bangun. Hana tiada di biliknya. Aku ke dapur, lega hatiku melihat Hana sedang mencuci
pinggan mangkuk.
Abang nak minum air, Hana buatkan?
Lembut suaranya menyentuh kalbuku. Aku bagaikan tersedar dari lamunan, keayuan dan keikhlasan wajahnya terserlah. Aku tahu dia terkejut bila tangannya ku tarik ke ruang depan. Dia duduk di sofa sambil merenungku kehairanan.
Kenapa bang ?
Tercetus pertanyaan dari mulutnya. Tangannya kugenggam. Aku tak tahu bagaimana memulakan bicara. Buat pertama kalinya aku kelu. Terasa diri ini begitu lemah dan kerdil. Tangannya ku cium. Walaupun kutahan, air mata lelakiku tumpah jua sewaktu ucapan maaf keluar dari mulutku. Keegoanku tewas. Aku benar-benar lemah. Aku ingin sujud dan memohon ampun kepada gadis ini kerana mengabaikannya selama ini. Aku takut dia akan lari meninggalkanku. Air mata Hana mengalir sewaktu dahinya ku cium. Pada waktu itu, hatiku nekad, aku akan menjaga gadis ini sepanjang hayatku. Hidupnya takkan kusiakan lagi. Cukuplah hampir 6 bulan usia perkahwinan kami, jiwanya ku seksa. Haknya kunafikan. Cukuplah. Aku berjanji akan membahagiakan dirinya di syurga kami ini. Aku tidak mahu lagi melihat air mata deritanya.
Ya tuhanku, sesungguhnya kau telah menciptakan dia untukku, sebagai amanah buatku, akan ku pikul tanggungjawab ini sebaiknya. Ya tuhan, ketahuilah, sesungguhnya aku redha dia isteriku...
Amin...
+ *Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Nama-nama yang terkandung tidak melibatkan mana-mana pihak samaada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Namun, cerita ini direka kerana mempunyai mesej dan maksud yang tersirat untuk bacaan umum.* +
0 comments:
Post a Comment