Pages

    25 April 2009

    Tazkiyatun Nafs

    Lazimnya umat Islam mampu untuk melakukan penyucian jasmani setiap hari namun gagal untuk menyucikan rohaniah dan jiwa mereka dalam satu jangka tempoh yang agak lama. Sebagai seorang Mukmin, pembersihan jiwa adalah penting dalam kehidupan seharian kerana kita selaku hamba-Nya yang lemah acapkali melakukan kesilapan dan maksiat sama ada dalam sedar atau tidak disengajakan.
    Melalui pembersihan jiwa ini, kita dapat menginsafi segala kesilapan yang telah dilakukan, berazam utk menjadi seorang mukmin yang lebih baik dan seterusnya mengamalkan ‘amal makruf wa nahi mungkar’.

    “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya sedia bersih, bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)” (Asy-Syams 91:9)


    Imam Ghazali telah menyenaraikan 4 bahagian yang menjadi asas kepada akhlak yang mulia. Dengan tertegaknya keempat-empat bahagian ini, InsyaAllah akhlakMahmudah yang lain turut sama tertegak di dalam diri individu Muslim tersebut:
    1) Bijaksana - iaitu bagi seorang hamba Allah adalah puncak dalam membezakan perkara yang baik dan buruk.
    2) Berani - iaitu bilamana seseorang dapat menahan diri dari terus melakukan sesuatu yang buruk
    3) Adil - iaitu kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan apa jua kemahuan syahwat yang ada didalam diri.
    4) Tazkiyatun nafs - menahan kemahuan syahwat dengan mendidik supaya tunduk dengan petunjuk akal dan petunjuk wahyu.

    Bagaimanakah cara untuk membersihkan jiwa?

    1) Jihad dengan tadribat (latihan)

    Dalam setiap latihan, sertakan dengan jihad dan kesungguhan. Antara cara yang boleh dilakukan sebagai permulaan adalah dengan memaksa diri untuk berubah. Namun harus diingatkan disini, proses perubahan ini perlu diniatkan hanya kerana Allah dan bukanlah bertujuan untuk membanggakan diri. Riya’, ‘ujub dan takabbur perlu dijauhi sepenuhnya kerana amalan yang dibayangi dengan unsur-unsur ini akan terbatal.

    2) Menempuh jalan yang berlainan dengan kehendak nafsu dan jiwa

    Ini merupakan antara jihad terbesar bagi seseorang mukmin itu iaitu jihad melawan nafsu. Manusia telah dikurniakan akal dan nafsu dalam menjalani kehidupan. Seringkali akal tunduk kepada tuntutan nafsu kerana kurangnya iman dan amal. Menurut Imam Ghazali dalam kitab Al-Ihya’Ulumuddin, hati nurani disebut sebagai nafsu. Ini kerana jiwa manusia yang bersifat dengan pelbagai sifat yang berbeza sesuai dengan perubahan keadaannya. 3 kategori nafsu manusia adalah;


    a) Nafsu Mutmainnah -tiada rasa untuk membuat perkara mungkar dan terpelihara dari penyakit-penyakit hati.
    b) Nafsu Lawwamah - punya pertentangan antara membuat perkara yang baik dan keji
    c) Nafsu Amarah - nafsu yang berkehendak dlm melakukan perbuatan yang keji.


    Oleh itu,mengikut jalan yang berlainan dengan tuntutan nafsu ini bermaksud melawan tuntutan nafsu amarah yang sering mengajak manusia ke arah kejahatan.

    3) Jihad dan Pengorbanan
    Jihad seringkali dikaitkan dengan pengorbanan iaitu umpama dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Pengorbanan disini lebih dititik beratkan kepada mengorbankan kesenangan dan keseronokkan ‘dunia’ dalam meraih kesejahteraan abadi di akhirat.

    4) Yakin dengan pertolongan Allah

    Setiap mukmin perlu meyakini bahawa janji Allah adalah benar. Justeru itu, kita perlulah yakin dengan pertolongan Allah. bermunajatlah kepada-Nya dengan penuh azam dan harapan yang seterusnya diiringi dengan usaha dan tawakkal. Banyakkan membaca Al-Quran kerana hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang.

    5) Dampingi orang yang soleh
    Dengan mendampingi insan-insan seperti ini, kita akan lebih mudah menerima sebarang teguran yang mampu membina sahsiah yang tinggi. Kita juga dapat menimba ilmu agama dari pelbagai aspek selain dapat melakukan ibadah dengan lebih sempurna dengan berkat tunjuk ajar daripada mereka

    6) Menghadiri majlis-majlis ilmu
    Tidak dapat dinafikan lagi,dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, kita dapat membersihkan jiwa kerana di dalamnya terdapat tazkirah dan ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan seseorang muslim. Selain itu, telah dijanjikan kepada mereka oleh Allah dengan pelbagai balasan yang baik.

    Kesimpulannya, diharapkan kita sama-sama dapat mengambil iktibar. Jika kita boleh mandi setiap hari kenapa tidak kita cuba menyucikan hati yang merupakan anggota yang begitu penting sekali dalam menentukan ’stage’ amalan kita. Sama-samalah kita berdoa agar hati kita sentiasa terbuka untuk menerima hidayah-Nya. Amin.

    Wallahua’lam [http://ltd.ppimi.org/?p=43]

    0 comments:

    Related Posts with Thumbnails