“Kenapa kembali? Bukankah kau sudah pergi?”
“Salahkah saya kembali?”.
Lelaki itu cuba bangun, namun duduk kembali. Digagah juga untuk bangun namun tidak berjaya, dia mahu menghampiri namun dia memberi isyarat agar dia tidak menghampiri.
“Sudah aku katakan, tinggalkan aku sendiri?”
“Tidak!!!” Suaranya sedikit tegas. “Kali ini saya takkan pergi…”
Lelaki itu diam sejenak. “Kau menyusahkan aku…”
“Kenapa mesti jadi begini? Tolong jangan begini,” pintanya.
“Kau tak faham..”
“Memang saya tak faham. Kenapa begini? Terangkan kenapa begini?.”
Lelaki itu batuk lagi dan kedengarannya agak parah. Dia menghampiri dan membantu lelaki itu. DIa ditolak. Pertolongannya tidak diperlukan. Namun, dia menegaskan juga. Mereka berpandangan. Dia dapat lihat di dalam mata lelaki itu kehadirannya amat lelaki itu perlukan. Dia membantu lelaki itu untuk ke dalam bilik air.
“Mulai hari ini, saya takkan pergi. Saya akan jaga abang,” katanya kepada lelaki itu perlahan, seolah berbisik.
Katil telah dikemaskan. Tingkap yang kelihatan sudah lama tertutup, dibuka. Dia menoleh. Lelaki itu sudah pun keluar dari bilik air. Dia memapah lelaki itu walaupun beberapa kali lelaki itu menepis tangannya.
“Tolonglah, jangan macam ni…” pintanya lembut. Dia dapat mendengar dengusan lelaki itu. Dia masih lagi membantu. Diapapah lelaki itu sehingga ke kerusi malas.
“ Saya bawakan bubur kegemaran abang.”
Lelaki itu memandangnya tepat, barangkali terkejut mendengar panggilan itu. Wanita itu tersenyum.
“Makan.. Nah!” suaranya lembut memujuk. Lelaki itu menurut sahaja, membuka mulut menerima segala suapan wanita itu. Dikesat jua sisa yang terdapat di bibir lelaki itu. Dia tersenyum kerana lelaki itu makan. Kemudian dipapah kembali lelaki itu ke katil. Mereka berpandangan lagi.
“Terima kasih…” ringkas sahaja ucapan lelaki itu. Dia mengangguk dan menyelimut tubuh cengkung lelaki itu.
“Sekarang abang tidur…”
“Kenapa kau kembali, Alia?” Lemah sekali pertanyaannya. “Jangan tanya lagi, sekarang abang tidur. Rehat!”
“Tolonglah…tinggalkan aku sendiri. Pergi!”
Dia tersenyum dan menggelengkan kepalanya. “Kali ini tidak!”
Lelaki itu berpaling dan memejamkan mata. Wanita bernama Alia itu mengeluh dan mengambil semula mangkuk tadi. Dia melangkah keluar dari bilik itu. Pintu bilik ditutup.
Raja sehari.
Beberapa kanak-kanak berlari-lari meniti tangga dan kedengaran suara melarang. Dia tersenyum. Beberapa kali mak andam membetulkan tudungnya yang sesekali kelihatan senget. Teman-temannya muncul serta mengusik-usiknya. Dia tersipu-sipu malu. Paluan kompang di laman rumah, bergema bagai memberitahu pengantin lelaki sudah hampir. Mak andam menghabiskan solekan yang terakhir. Ibu saudaranya muncul dan bertanyakan sama ada dia sudah siap diandam atau belum.
“Pengantin lelaki dah sampai!” suara di luar melaung. Ibu saudaranya muncul dan membawanya keluar dari bilik itu. “ Baik-baik, jatuh pula pengantin tu…”
Suara usik-usikan kedengaran dan bunyi ketawa kedengaran. Dia senyum, perasaan bercampur-baur. Gembira, sedih, lega dan semuanya berulang-ulang. Dia menarik nafas panjang apabila dilihat wajah si suami muncul. Pandangan lelaki itu membuatkan cintanya bertambah dan dia berjanji di dalam hatinya dia takkan meninggalkan lelaki itu. Walau bagaimana susah pun, cintanya akan tetap kepada lelaki itu.
…
Dia tersedar apabila mendengar bunyi batuk lelaki itu. Segera dia menghampiri lelaki itu. Lelaki itu masih lagi terlelap. Dia memegang dahi lelaki itu, sedikit panas. Tangannya mencapai tuala yang telah direndam dengan ais. Diperah tuala itu. Kemudian, diletakkan di dahi lelaki itu. Dia duduk kembali di kerusi besar yang terletak tidak jauh dari katil. Album yang tadi dia pegang dicapai kembali. Setiap halaman di dalam album itu dilihat, dan setiap gambar di situ membuatnya senyum.
Terkenang kembali tatkala mula bercinta dengan lelaki itu, semua orang mengatakan dia lelaki yang ego. Pernah sekali lelaki itu memarahinya kerana salah cetak nama di atas surat-surat, tetapi setelah selesai mesyuarat petang itu dengan penuh gaya kelakiannya, lelaki itu muncul di ruang kerjanya dengan jambangan mawar merah dan melutut meminta maaf. Sejak itu, mereka makin rapat dan ketika itu cinta mula subur di hati masing-masing. Lelaki itu memang pandai mengambil hatinya, walaupun ada kala dia kelihatan ego tetapi orangnya lemah lembut serta bersopan santun. Kemudian, lelaki itu melamarnya dan sekelip mata dia bersetuju. Akhirnya impiannya tercapai untuk menjadi isteri kepada lelaki itu.
Tetapi, semua itu sudah berlalu walaupun kenangan-kenangan itu begitu kuat bermain di ingatannya. Dia menoleh ke arah lelaki yang terbaring lesu di katil itu. Kalau dulu, lelaki itu sudah bersiap-siap untuk ke pejabat dengan gayanya tetapi tidak lagi kini. Lelaki itu hanya terbaring lesu. Sesekali matanya memandang ke arah tingkap. Air matanya mula menitis segera disapu. Dia tidak mahu lelaki itu melihatnya menangis.
...bersambung
0 comments:
Post a Comment